Tuesday, May 29, 2018

SENARAI VERSI SEJARAH MELAYU


Teks Sejarah Melayu atau Sulalat al-Salatin yang pertama dicetak dalam bahasa Inggeris. Naskhah tersebut diterjemahkan oleh Dr. Leyden pada tahun 1821 dengan pendahuluan yang ditulis oleh Raffles. Leyden menterjemahkan judul atau cerita yang menjadi rujukan raja-raja Melayu ini ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Malay Annals tetapi masih mengekalkan judul Sejarah Melayu dalam teksnya. Oleh sebab itu, judul Sejarah Melayu itu masih digunakan bagi merujuk teks sejarah yang berkaitan dengan Melaka (Matheson Hooker dan Hooker, 2001:35-6). Sejarah Melayu merupakan edisi cetakan berbahasa Melayu hasil penyuntingan Abdullah Munsyi bersama-sama dengan mubaligh Kristian. Namun, naskhah itu tidak dapat ditentukan tahun terbitannya. Ramai pengkaji mendakwa naskhah tersebut terbit pada awal tahun 1830-an atau 18311 . Namun, penulis lebih cenderung kepada pandangan Ian Proudfoot yang menyatakan tahun 1842 sebagai tahun terbitannya. Edisi cetakan ini menjadi salah satu sumber yang diolah oleh Shellabear untuk edisi buku teks sekolah yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1896 dalam tulisan Jawi, dan pada tahun 1898 dalam tulisan Rumi. Namun, seperti yang dikatakan oleh Shellabear dalam pendahuluan edisi 1896, sebelumnya ada edisi yang diterbitkan di Belanda pada tahun 1884 oleh seorang editor. Klinkert berjaya dalam rancangan awalnya menerbitkan semula Sejarah Melayu dengan beberapa perubahan yang dianggap perlu seperti yang dilakukannya terhadap beberapa teks lain yang pernah dikarang oleh Abdullah Munsyi. Kira-kira 70 tahun setelah Klinkert menerbitkan semula Sejarah Melayu dalam tulisan Jawi, edisi Abdullah Munsyi itu disunting semula oleh Profesor Teeuw dengan kerjasama T. D. Situmorang dan diubah seperlunya. Pembetulan terhadap edisi Abdullah Munsyi itu terasa perlu kerana dianggap tidak sempurna, iaitu “tidak mencukupi syarat-syarat ilmu pengetahuan setinggi-tingginya” (Sejarah Melayu, 1952:xvi). Teks salah satu naskhah Sejarah Melayu yang diterbitkan oleh Abdullah Munsyi dirumikan oleh Situmorang, disemak dan dilengkapi dengan catatan seperlunya oleh Teeuw.
       
Edisi Abdullah Munsyi ini juga tidak dirujuk sekali lagi kerana pada tahun 1979, A. Samad Ahmad juga memakai naskhah yang pernah digunakan Shellabear untuk edisi pelajarnya pada akhir abad ke-19. Berdasarkan edisi ini, “kelainan” yang muncul dalam edisi-edisi lain akhirnya berjaya diselesaikan juga: Hang Jebatlah yang menjadi lawan Hang Tuah, bukannya Hang Kasturi seperti yang disebut dalam versi yang terbit sebelumnya. Ketua Pengarah DBP (Datuk Haji Hassan Ahmad) pada waktu itu pula yakin “ia lebih mendekati karya asal sekiranya dibandingkan dengan versi-versi yang sedia ada” (Sejarah Melayu, 1984:v). Dengan demikian, cetakan Sejarah Melayu yang diturunkan daripada penyuntingan Abdullah Munsyi dan North menghasilkan empat edisi yang saling berbeza: edisi Klinkert, 1884; Shellabear, 1896; Situmorang dan Teeuw, 1952; dan A. Samad Ahmad, 19794 . Sulalatus Salatin versi Abdullah Munsyi ini semuanya digunakan dalam salah satu sistem pendidikan, berkemungkinan edisi Abdullah Munsyi memang tidak mencukupi syarat ilmu pengetahuan filologi seperti yang dinyatakan oleh Teeuw dalam pendahuluan edisinya. Namun, teksnya dianggap standard pada tahun 1950-an.  

2 comments: