Sejarah
Melayu sememangnya patut menjadi bacaan wajib semua orang Melayu. Kitab inilah
yang sebenarnya menggalurkan sejarah orang Melayu dan raja-rajanya dikatakan
berasal daripada Iskandar Zulkarnain hinggalah pada zaman Kerajaan Melayu
Johor. Kitab ini bukan saja menumpukan kepada kisah raja-raja dan orang-orang
besar tetapi juga kisah rakyat jelata.
Hal ini
demikian sama dengan Salasilah Melayu dan Bugis, Taufat al-Nafis dan Hikayat
Raja-Raja Pasai, kitab Sejarah Melayu tidak boleh dilihat dalam konteks
‘sejarah’ hari ini. Kitab-kitab ini menggunakan pelbagai sumber termasuk mitos
dan legenda bagi meriwayatkan sejarah. Ada kalanya, peristiwa tersebut sukar
diterima atau episod yang digambarkan sebagai sejarah. Tetapi bahan-bahan yang
dianggap tidak objektif dan tepat ini punya peranannya yang tersendiri. Oleh
sebab itu, kitab Sejarah Melayu dikategorikan sebagai historiografi Melayu.
Selain itu,
Sejarah Melayu memancarkan nilai dan pandangan dunia orang Melayu. Hal ini
demikian kerana banyak peristiwa di dalamnya yang memberikan bayangan bagaimana
legitimasi raja diperkukuh melalui mitos dan legenda. Di samping itu, terdapat
juga banyak cerita penganiayaan yang dilakukan ke atas rakyat. Juga cerita
tentang gagalnya orang Melayu menghormati kepandaian dan kecerdikan seperti
yang berlaku pada budak yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak.
Melihat
kepada makna kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dalam Sejarah Melayu.
Berbeza dengan Hikayat Hang Tuah, teman Hang Tuah yang menderhaka adalah Hang
Kasturi. Pengabdian Hang Tuah mutlak terhadap rajanya. Orang Melayu pada masa
itu tidak ada pilihan melainkan bersetia pada rajanya. Kegagalan berbuat
demikian mengakibatkan malapetaka luar biasa. Perakara ini dapat dilihat pada
watak Sang Rajuna Tapa yang belot di Singapura kerana membuka gerbang untuk
kemasukan tentera Betara Majapahit, dia dan isterinya menjadi batu dan beras di
rumahnya menjadi tanah.
Terlalu
banyak kisah dalam Sejarah Melayu yang hebat dan luar biasa, malah menjadi
potensi bahan filem dan drama TV. Badang merupakan Hercules Melayu dengan
kekuatannya. Semerluki, panglima Bugis yang bersumpah tidak akan ke Tanah
Melayu sekiranya batu yang dicampakkan ke laut, timbul. Tun Jana Khatib dengan
keilmuan yang hebat lalu dicemburui raja. Tun Kudu harus menyerah dirinya pada
Tun Ali bagi membolehkan adiknya Tun Perak menjadi bendahara. Sultan Muzafir
Shah pernah dibuang menjadi nelayan. Raja China menghantar Puteri Hang Li Po ke
Melaka. Jangan lupa kisah pengkhianat Raja Mendeliar dan Si Kitul yang
menyebabkan kehancuran Melaka.
Sejarah
Melayu juga memuatkan kisah Bendahara Seri Wak Raja yang membunuh diri kerana
berasa malu apabila pintu ditutup orang sewaktu beliau hendak masuk menghadap.
Bendahara ini ayah kepada Tun Kudu dan Tun Perak. Juga kisah Sultan Alauddin
Shah yang turun padang melihat rakyatnya di waktu malam.
No comments:
Post a Comment