Teks
Sejarah Melayu atau Sulalat al-Salatin yang pertama dicetak dalam bahasa
Inggeris. Naskhah tersebut diterjemahkan oleh Dr. Leyden pada tahun 1821 dengan
pendahuluan yang ditulis oleh Raffles. Leyden menterjemahkan judul atau cerita
yang menjadi rujukan raja-raja Melayu ini ke dalam bahasa Inggeris dengan judul
Malay Annals tetapi masih mengekalkan judul Sejarah Melayu dalam teksnya. Oleh
sebab itu, judul Sejarah Melayu itu masih digunakan bagi merujuk teks sejarah
yang berkaitan dengan Melaka (Matheson Hooker dan Hooker, 2001:35-6). Sejarah
Melayu merupakan edisi cetakan berbahasa Melayu hasil penyuntingan Abdullah
Munsyi bersama-sama dengan mubaligh Kristian. Namun, naskhah itu tidak dapat ditentukan
tahun terbitannya. Ramai pengkaji mendakwa naskhah tersebut terbit pada awal
tahun 1830-an atau 18311 . Namun, penulis lebih cenderung kepada pandangan Ian
Proudfoot yang menyatakan tahun 1842 sebagai tahun terbitannya. Edisi cetakan
ini menjadi salah satu sumber yang diolah oleh Shellabear untuk edisi buku teks
sekolah yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1896 dalam tulisan Jawi, dan
pada tahun 1898 dalam tulisan Rumi. Namun, seperti yang dikatakan oleh
Shellabear dalam pendahuluan edisi 1896, sebelumnya ada edisi yang diterbitkan
di Belanda pada tahun 1884 oleh seorang editor. Klinkert berjaya dalam
rancangan awalnya menerbitkan semula Sejarah Melayu dengan beberapa perubahan
yang dianggap perlu seperti yang dilakukannya terhadap beberapa teks lain yang
pernah dikarang oleh Abdullah Munsyi. Kira-kira 70 tahun setelah Klinkert
menerbitkan semula Sejarah Melayu dalam tulisan Jawi, edisi Abdullah Munsyi itu
disunting semula oleh Profesor Teeuw dengan kerjasama T. D. Situmorang dan
diubah seperlunya. Pembetulan terhadap edisi Abdullah Munsyi itu terasa perlu
kerana dianggap tidak sempurna, iaitu “tidak mencukupi syarat-syarat ilmu
pengetahuan setinggi-tingginya” (Sejarah Melayu, 1952:xvi). Teks salah satu
naskhah Sejarah Melayu yang diterbitkan oleh Abdullah Munsyi dirumikan oleh
Situmorang, disemak dan dilengkapi dengan catatan seperlunya oleh Teeuw.
Edisi Abdullah Munsyi ini juga tidak
dirujuk sekali lagi kerana pada tahun 1979, A. Samad Ahmad juga memakai naskhah
yang pernah digunakan Shellabear untuk edisi pelajarnya pada akhir abad ke-19. Berdasarkan
edisi ini, “kelainan” yang muncul dalam edisi-edisi lain akhirnya berjaya
diselesaikan juga: Hang Jebatlah yang menjadi lawan Hang Tuah, bukannya Hang
Kasturi seperti yang disebut dalam versi yang terbit sebelumnya. Ketua Pengarah
DBP (Datuk Haji Hassan Ahmad) pada waktu itu pula yakin “ia lebih mendekati
karya asal sekiranya dibandingkan dengan versi-versi yang sedia ada” (Sejarah
Melayu, 1984:v). Dengan demikian, cetakan Sejarah Melayu yang diturunkan
daripada penyuntingan Abdullah Munsyi dan North menghasilkan empat edisi yang
saling berbeza: edisi Klinkert, 1884; Shellabear, 1896; Situmorang dan Teeuw,
1952; dan A. Samad Ahmad, 19794 . Sulalatus Salatin versi Abdullah Munsyi ini
semuanya digunakan dalam salah satu sistem pendidikan, berkemungkinan edisi
Abdullah Munsyi memang tidak mencukupi syarat ilmu pengetahuan filologi seperti
yang dinyatakan oleh Teeuw dalam pendahuluan edisinya. Namun, teksnya dianggap
standard pada tahun 1950-an.
Tahniah..teruskan usaha..
ReplyDeleteVersi sejarah melayu yang pelbagai
ReplyDelete