VIDEO PUISI CERMIN ADAB (Tun Fatimah Dipasung Rindu)
Kanon Melayu
BSS3143 KANON MELAYU
Tuesday, May 29, 2018
LATAR BELAKANG TUN SERI LANANG

Tun Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang telah dilahirkan dalam tahun 1565M di Seluyut, Johor Lama. Di Johor Lama beliau telah dilantik sebagai bendahara kepada dua sultan iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II tahun 1570M hingga 1597M dan Sultan Alauddin Shah III tahun 1597M hingga 1612M. Semasa di Aceh pula, selain berkhidmat sebagai penasihat kepada tiga rajanya, Tun Seri Lanang sendiri pernah berperanan sebagai pemerintah, menjadi raja kenegerian Samalanga, iaitu sebuah wilayah jajahan dalam kesultanan Aceh Darussalam, memerintah selama lebih 40 tahun lamanya, iaitu suatu tempoh yang panjang untuk memberikan impak yang besar kepada pemerintahannya. Dalam hal ini, Tun Seri Lanang sememangnya diketahui meninggalkan warisan-warisan agama, budaya dan keturunan pemerintah, yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Samalanga. Pada Mei 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah raja Abdullah atau Yang dipertuan di Hilir untuk mengarang Sulalatus Salatin iaitu semasa Raja Abdullah bersemayam di Pasir Raja atau dikenali Pekan Tua. Semenjak tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) telah membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri Melayu termasuk Johor Lama, Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan lainnya, dibuat sebagai strategi Sultan Iskandar Muda untuk menghambat pengaruh dan kuasa Portugis dari kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan kerajaannya yang besar. Pada 1659M, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Aceh dan zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipagar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.
RINGKASAN BAB 1
Bab ini menceritakan tentang Raja
Iskandar Zul-Karnain dari Makaduniah berperang dengan Raja Kida Hindi. Raja
Kida Hindi tewas dan diislamkan oleh Raja Iskandar Zul-Karnain. Kemudian Raja
Iskandar berkahwin dengan Puteri Syahrul-Baryah, anak Raja Kida Hindi dan
mendapat seorang anak bernama Raja Aristun Syah. Raja Suran iaitu keturunan
Raja Iskandar memerintah negeri Amdan Nagara dan baginda ingin menyerang China
untuk meluaskan jajahan takluknya. Raja Suran sampai ke Gangga Nagara dalam perjalanan
ke China dan berjaya menewaskan Raja Gangga Syah Johan dan baginda berkahwin
dengan Puteri Dara Segangga. Setelah itu, Raja Suran sampai di negeri Langgiu
dan baginda telah menewaskan Raja Chulan. Raja Suran kemudiannya mengahwini
Puteri Onang Kiu.
Apabila Raja Suran berada
di Temasik, orang China telah membuat muslihat dengan menghantar orang-orang
tua yang tiada gigi, pokok yang sudah berbuah, dan jarum berkarat dengan sebuah
kapal sehingga Raja Suran membatalkan niatnya untuk menyerang China. Raja Suran
turun ke laut dan apabila sampai di negeri Dika maka baginda berkahwin dengan
Puteri Mahtabul Bahri, anak raja Aktabu’l-Ard. Raja Suran dikurniakan tiga
orang anak dengan Puteri Mahtabul Bahri dan telah mewasiatkan supaya Raja
Aktabu’l-Ard menghantar anak-anaknya ke dunia apabila dewasa. Setelah itu, maka
Raja Suran kembali ke dunia dengan kuda semberani jantan.
RINGKASAN BAB 2
Bab ini menceritakan tentang
anak-anak Raja Suran yang dipelihara oleh Raja Aktabu’l-Ard, iaitu Nila
Pahlawan, Nila Utama dan Krisyna Pandita telah dewasa dan dihantar ke dunia
dengan menaiki lembu putih. Anak-anak Raja Suran telah muncul di Bukit
Siguntang pada waktu malam dan menyebabkan padi Wan Empuk dan Wan Malini
berbuahkan emas, daunnya menjadi perak dan batangnya menjadi suasa. Daripada
peristiwa itu, telah wujud perkenalan antara Wan Empuk dan Wan Malini dengan
anak-anak Raja Suran. Lembu putih yang dinaiki anak-anak Raja Suran telah
memuntahkan buih lalu keluarlah seorang lelaki yang diberi nama Batala. Nila
Pahlawan menjadi raja di Minangkabau dan Krisyna Pandita pula menjadi raja di
Tanjung Pura manakala Nila Utama ditabalkan menjadi raja di Palembang. Nila
Utama atau Seri Teri Buana ingin mengahwini Raden Ratna Cendera Puri tetapi
ayahnya Demang Lebar Daun mahu berwaad dengan Seri Teri Buana. Waad itu
akhirnya dimaterai untuk menjaga perhubungan raja dengan rakyat. Maka Seri Teri
Buana dan Raden Ratna Cendera Puri berkahwin serta didapati bahawa isterinya
itu tidak kedal. Seri Teri Buana keluar mencari negeri dan sampai di Bintan dan
diambil oleh Wan Seri Beni sebagai anak angkat. Seri Teri Buana kemudian
berburu di Bengkilau dengan pembesar-pembesar Bintan dan Seri Teri Buana
terlihat satu tempat iaitu Temasek dan ingin ke tempat itu. Walaubagaimanapun,
kenaikan iaitu bahtera Seri Teri Buana dipukul ribut dalam perjalanan ke
Temasek dan ribut itu reda setelah baginda meletakkan mahkotanya di air.
Setelah itu, Seri Teri Buana telah membuka negeri di Temasek dan diberi nama
Singapura berdasarkan nama singa. Seri Teri Buana ditabalkan sebagai raja
Singapura yang pertama oleh Wan Seri Beni.
RINGKASAN BAB 3
Seri Teri Buana menghantar
rombongan peminangan ke benua Keling untuk meminang Puteri Nila Pancadi
untuk anakanda baginda, Raja Kecil Besar. Seri Teri Buana mangkat dan
diganti oleh Raja Kecil Besar bergelar Paduka Seri Pikrama Wira.Paduka Seri
Pikrama Wira melantik beberapa jawatan penting seperti
Bendahara, Menteri, Penghulu Bendahari, dan Hulubalang. Betara Majapahit
telah menghantar utusan ke Singapura dengan bingkisan "Sekeping
tatal tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus, nipisnya seperti kertas, dan
bergulung seperti subang". Paduka Seri Pikrama Wira tersalah anggap
dan bertindak membalas utusan itu dengan mencukur kepala seorang budak dan
beliungnya dihantar ke Majapahit.Terjadi peperangan antara Singapura
dengan Majapahit tetapi Singapura tidak kalah.Kemangkatan Paduka Seri Pikrama
Wira. Raja Muda dilantik menjadi raja Singapura dengan gelaran Rakna Wikrama.
Badang menahan lukah tetapi
ikannya dimakan hantu. Badang dapat menangkap hantu itu
tetapi hantu meminta Badang melepaskannya dan permintaan Badang akan
ditunaikan. Badang meminta kekuatan dan Badang terpaksa makan
muntah hantu itu. Badang menjadi kuat dan dapat menebas hutan dalam
masa yang singkat sehingga dimerdekakan oleh
tuannya.Badang mengalahkan pahlawan dari Benua Keling bernama Nadi
Bija Niakra. Badang hampir-hampir berlawan dengan Benderang, iaitu pahlawan
dari Perlak tetapi pihak Benderang membatalkan perlawanan itu dengan alasan
tidak mahu terjadi permusuhan pada kemudian hari. Seri Rakna
Wikrama mangkat dan digantikan oleh anak baginda dengan gelaran
Paduka Seri Maharaja.
Merah Silu menahan lukah dan
selalu mendapat cacing gelang-gelang. Apabila direbus cacing gelang-gelang itu
bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh Merah Silu dan Merah Silu
melarikan diri ke Rimba Jurun. Merah Silu menjumpai sebuah tempat dan
menamakan tempat tersebut Semundra berdasarkan semut besar yang
dilihatnya. Rasulullah s.a.w. menyuruh sahabat baginda mengislamkan rakyat
Semundra. Tugas itu dilaksanakan oleh Sheikh Ismail dan fakir Muhammad yang
datang ke Semundra. Fakir Muhammad mengislamkan penduduk-penduduk di
Fansuri, Haru, Lamiri, dan Perlak. Fakir Muhammad berjumpa Merah Silu di pantai
dan mengislamkan beliau dan menukarkan namanya kepada Sultan
Maliku's-Salleh. Sultan Maliku's-Salleh mendapat dua orang putera iaitu
Sultan Maliku't-Tahir dan Sultan Maliku'l-Mansur.
Sultan Maliku't-Tahir dirajakan
di Pasai. Sidi Ali Ghiathu'd-Din menjadi Mangkubuminya. Sultan
Maliku's-Salleh gering dan mewasiatkan kepada anak-anak baginda supaya
berbaik-baik dan Semundra diperintah oleh Sultan Maliku'l-Mansur.Raja
Syahru'n-Nuwi menitahkan Awi Dicu menangkap raja Pasai dan Awi Dicu
melaksanakan tugas itu setelah membuat muslihat dengan hulubalang
yang gagah di dalam empat buah peti . Raja Pasai dijadikan gembala
ayam oleh raja Syahru’n-Nuwi. Sidi Ali Ghiatu’d Din bermuafakat dengan mentari
untuk membebaskan raja Pasai. Sidi Ali Ghiathu'd-Din berusaha untuk
menyelamatkan rajanya dengan membuat tipu muslihat. Beliau telah memberikan
hadiah berharga kepada raja Syahru'n-Nuwi sehingga raja Syahru'n-Nuwi berjanji
akan memberi apa sahaja yang diminta oleh Sidi Ali Ghiatu'd-Din sebagai
balasan. Sidi Ali Ghiathu'd-Din memohon raja Pasai daripada
raja Syahru'n-Nuwi dan diizinkan oleh baginda. Raja Pasai dibawa
pulang.
Sultan Maliku'l-Mansur pergi ke
Pasai untuk melawat Sultan Maliku't-Tahir walaupun ditegah
oleh Sidi Asma Yaumi'd-Din. Sultan Maliku'l-Mansur mengambil
dayang Sultan Maliku't-Tahir dan dibawa pulang ke Semundra. Saltan
Maliku't-Tahir berdendam dengan Sultan Maliku'l-Mansur dan berusaha
untuk menangkapnya.Sultan Maliku't-Tahir yang menggunakan tipu muslihat berjaya
menangkap Sultan Maliku'l-Mansur. Sidi Asma Yaumi'd-Din dipenggal
lehernya dan kepalanya dibuang ke laut manakala Sultan' Mlaliku'l-Mansur
dibawa berperahu ke Manjung. Sultan
Maliku'l-Mansur berjumpa dengan kepala Sidi Asma Yaumi'd-Din dan
baginda meminta badan Sidi Asma Yaumi'd-Din untuk dicantumkan dengan
kepalanya kemudian dikebumikan di Padang Maya. Sultan Maliku’t-Tahir menjumput
Sultan Maliku'l-Mansur pulang kerana baginda menyesal bermusuh-musuhan
dengan saudara sendiri.Sultan Maliku'l-Mansur mangkat di sisi kubur
Sidi Asma Yaumi'd-Din.
Subscribe to:
Posts (Atom)