Tuesday, May 29, 2018

UNSUR-UNSUR TERTENTU


UNSUR-UNSUR TERTENTU DALAM SEJARAH MELAYU
Unsur Lagenda
Lagenda ialah cerita yang mengisahkan kebesaran dan keistimewaan seseorang tokoh yang diyakini kewujudannya oleh masyarakat. Cerita tersebut sering kali dibuat secaraberlebih-lebihan dan melampaui kelaziman yang biasa dimiliki oleh seseorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh legenda ini juga bercampur aduk antara unsur Sejarah dengan unsur fantasi. Tokoh-tokoh legenda itu biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa. Tokoh-tokoh legenda biasanya ditandai oleh beberapa ciri. Antara ciri utama tersebut termasuklah:
Mereka memiliki rupa paras yang kacak dan tampan, berperibadi mulia, dan bijaksana. Ketampanan, kemuliaan, dan kebijaksanaan mereka dikagumi dan disenangi oleh setiap orang;
Mereka memiliki ilmu kepahlawanan, cekap bermain senjata, gagah dan perkasa, serta berani. Kehebatan mereka selalunya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pahlawan sekalipun;
Mereka memiliki ilmu kesaktian ataupun ilmu hikmat yang membantu mereka dalam apa-apa juga keadaan semasa berjuang;
Mereka, taat dan setia kepada keluarga dan raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka begitu luhur clan suci;
Mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tiada pada manusia biasa.
Contoh unsur agenda dalam sejarah Melayu
Kewajaran Laksamana Hang Tuah sebagai Legenda
Hang Tuah ialah salah satu legenda Melayu yang menonjol dalam teks. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Tokoh ini dipercayai memang pernah hidup di Melaka pada mass dahulu. Yang menjadikan Hang Tuah tergolong sebagai legenda Melayu adalah kerana beliau memiliki pelbagai keistimewaan dan kelebihan, sama ada fizikalnya mahupun mentalnya. Keistimewaan beliau yang paling ketara ialah kepahlawanan dan kegagahan yang dimilikinya. Beliau juga merupakan lambang kesetiaan masyarakat Melayu terhadap raja - bersedia menabur jasa dan bakti demi memelihara kebesaran dan kedaulatan raja Melayu.

Unsur Humor
Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalam Sulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup, penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta kecerdasan mengolah bahasa.

Unsur Mitos

MITOS, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalamteks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat. Contoh-Contoh Mitos :
Mitos tentang peristiwa ikan todak menyerang Singapura. Peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Peristiwa ini telah menyebabkan ramai rakyat Singapura mati kerana ditikam oleh ikan berkenaan. Paduka Seri Maharaja mengarahkan semua rakyat berkubukan betis. Akan tetapi, cara berkenaan telah menyebabkan kematian rakyat negeri tersebut semakin meningkat. Akhirnya, serangan ikan todak tersebut berjaya diatasi oleh kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. Penceritaan tentang Singapura dilanggar todak ada pada halaman ke-67, dalam Sulalatus Salatin.

Unsur Pengaruh/Sentuhan Budaya dalam Sulalatus Salatin
Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai pengaruh sastera dan budaya asing iaitu Hindu dan Islam. Pengarang Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur emas dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan unsur tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga muncul pada nama-nama tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa Sanskrit yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi agama Hindu merujuk kepada suatu upacara mensucian seseorang Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang ditonjolkan dalam teks Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci yang lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran Parameswara. Walaupun terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu, contoh lain yang adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep devaraja telah diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri Lanang telah mengambarkan unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu sahaja, pemaparan upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan sewaktu perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana ini terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-Raja lebih layak untuk dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti Kisah Raja-Raja Pasai. [19]

No comments:

Post a Comment